Ust Mohamad Rais – in my loving memory

This is my late  grandfather. From him and his son (my father, Ust Ahmad Rais), I have inherited the Rais name and passed on to my children as a family name. I was present when he passed away so I do have fond memories of him, The following were excerpts taken from  Rujukan: Siri 3, Obor Ummah – PERGAS

Beliau merupakan guru Qira’at dan Tajwid Al-Quran tersohor di Nusantara pada zamannya. Kiyai Mohamed bin Rais lahir pada tahun 1900 di Pekalongan (Indonesia). Pada usia 7 tahun, beliau dihantar ke Singapura untuk mempelajari ilmu Al-Quran.

Beliau menetap di Kampong Glam dan menyara hidupnya sendiri dengan mengambil upah membuat kerja-kerja mencanai emas dan membuat capal.

Dewasanya, beliau menjadi guru Qira’at dan Tajwid Al-Quran di Madrasah Aljunied Al-Islamiah yang paling berpengalaman mengajar selama hampir 20 tahun bermula sejak tahun 1930.

Semasa mengajar di Madrasah Aljunied, beliau seangkatan dengan 3 ulama tersohor lainnya iaitu Habib Abdullah bin Shaikh Balfaqih, Habib Abdullah bin Hassan Al-Syatrie dan Habib Muhammad bin Alwi Al-Idrus.

Kiyai Mohamed sering didatangi oleh para Qari dan Qariah dalam dan luar negara untuk mendapatkan nasihat, panduan dan petua tentang pembacaan Al-Quran.

Selain mengajar di Madrasah Aljunied pada sebelah pagi, beliau juga menjadi Imam di Masjid Sultan dari tahun 1946 hingga 1970; menggantikan Imam Kiyai Abbas bin Taha atau Syeikh Abbas Al-Azhari.

Pada sebelah malam dan hujung minggu, beliau mengajar anak-anak anggota polis dari Lembaga Khairat Muslimin Polis.

Beliau juga merupakan salah seorang pengasas Persatuan Ulama Dan Guru Ugama Islam Singapura (PERGAS).

Kiyai Mohamed dikenali sebagai seorang yang pendiam, penyabar dan bersifat amat sederhana. Beliau tidak gemar memperkatakan hal tentang harta benda dan tidak meletakkan harta sebagai nilai atau ukur-tara seseorang. Bahkan jika ada rombongan yang merisik atau meminang anak gadisnya, soalan pertama yang diajukan ialah sama ada jejaka itu istiqamah mengerjakan solat. Beliau tidak bertanya tentang pekerjaan atau gaji bakal menantunya kerana beliau yakin seseorang jejaka yang bersolat dengan sempurna dapat menjadi pemimpin keluarga yang bertanggung-jawab.

Kiyai Mohamed wafat pada tahun 1993 dengan meninggalkan 15 anak dari dua orang balu. Antara anak-anaknya ialah Ustaz Amir @ Ustaz Amir Rais, Ustaz Maarof @ Ustaz Maarof Rais dan Ustaz Mahmood @ Ustaz Mahmood Rais.

Jenazah Kiyai Mohamed telah disemadikan di Pusara Aman (Old Choa Chu Kang Road).

Al Fateha.

Leave a Reply